Peguam Negara harus jelaskan bagaimana siasatan sepatutnya dilakukan SPRM, SC

0
2

PEGUAM Negara, Tan Sri Idrus Harun harus menjelaskan bagaimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) boleh menyiasat dengan betul antara satu sama lain terutama apabila siasatan melibatkan pegawai tertinggi kedua-dua institusi setelah aduan dibuat ke atas mereka.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata ia susulan dua laporan melibatkan kedua-dua agensi iaitu pertama pada 6 Januari bahawa SC akan berhubung dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki susulan dakwaan melibatkan saham tertentu.

Pada 11 Januari pula, katanya, dilaporkan SPRM telah menerima aduan berkenaan individu tertentu dalam pengurusan tinggi dan lembaga pengarah SC.

“Kelihatan seolah-olah SC dan SPRM sedang menyiasat individu dalam institusi itu antara satu sama lain pada ketika ini.

“Peguam Negara mesti menyatakan sama ada wujudnya konflik atau kemungkinan siasatan akan dikompromikan atau dilihat sebagai dikompromikan di dalam keadaan sedemikian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Gobind berkata Azam ketika ini kekal sebagai ketua Pesuruhujaya SPRM dan Seksyen 5 Akta SPRM menyatakan bahawa ketua Persuruhjaya SPRM bertanggungjawab ke atas arahan, kawalan dan penyeliaan semua perkara berkaitan dengan suruhanjaya itu.

Katanya, laporan terhadap SC merujuk kepada individu dalam pengurusan tinggi dan lembaga pengarah dalam SC yang mana adakah mereka mempunyai hak untuk menyatakan bagaimana siasatan dijalankan di suruhjaya tersebut.

“Adakah Peguam Negara berpendapat bahawa siasatan dalam keadaan sedemikian wajar dan menyakinkan?

“Dia mesti juga menerima bahawa sekiranya sesuatu kes diteruskan ke mahkamah sebagai akibat daripada penyiasatan ini, isu yang berkaitan dengan konflik dan kompromi juga boleh timbul yang mungkin ada kesan terhadap perbicaraan itu.

“Peguam Negara mesti bersuara dan menjelaskan perihal ini. Adakah ini wajar dan jika tidak apa yang telah beliau lakukan berurusan dengannya?,” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here