KERAJAAN Kelantan telah menerima sebanyak RM400 juta hasil petroleum yang disalurkan kerajaan Persekutuan bagi tempoh dua tahun, iaitu 2020 dan 2021.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata ia adalah hasil lima peratus daripada pengeluaran medan berdekatan Kelantan, lapor Berita Harian.
Katanya, apa yang perlu ditekankan kerajaan Pusat sebelum ini tidak menyalurkan peruntukan secara langsung kepada Kelantan, sebaliknya potongan dibuat bagi pembayaran balik hutang kerajaan negeri dan tidak diberi sepenuhnya.
“Penyaluran pada tahun 2019 contohnya hanya RM28 juta. Namun kerajaan Pusat sekarang, pembayaran dibuat secara langsung kepada kerajaan negeri dan 100 peratus disalurkan.
“Penyaluran ini meningkat berlipat kali ganda daripada RM28 juta. Tahun lalu RM200 juta, tahun sebelum itu juga RM200 juta dan jumlah bayaran terpulang kepada hasil petroleum semasa,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas taklimat Bajet 2022 kepada penjawat awam Kelantan di Kota Bharu hari ini. – Malaysiapost

