LETUSAN gunung berapi di dasar laut perairan Tonga di Pasifik Selatan semalam tidak mencetuskan ancaman tsunami kepada Malaysia, kata Jabatan Meteorologi (MET Malaysia).
Menerusi kenyataan hari ini, MET Malaysia memaklumkan ia berdasarkan kepada pemantauan berterusan, semakan bacaan tolok pasang surut serta boya antarabangsa dan tempatan, serta maklumat laman sesawang Regional Tsunami Service Providers (RTSP).
Bagaimanapun katanya, MET Malaysia akan sentiasa memantau secara berterusan perkembangan kejadian itu dan akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini yang berkaitan dari semasa ke semasa.
“Sila dapatkan maklumat gempa dan amaran tsunami terkini melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia serta Hotline di talian 1-300-22-1638,” kata kenyataan itu.
Terdahulu media antarabangsa melaporkan Letusan gunung berapi di Pasifik Selatan semalam mencetuskan gelombang tsunami ke Tonga berdekatan utara Jepun, selain amaran gelombang laut berbahaya dikeluarkan sejauh pantai barat Amerika Syarikat (AS).
Imej satelit menunjukkan letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha’apai yang panjang dan bergemuruh menyebabkan kepulan asap kelihatan seperti cendawan besar, selain abu bertebaran ke udara merentasi perairan sekitarnya.
Gelombang tsunami berukuran 1.2 meter berlaku di ibu negara Tonga, Nuku’alofa, menurut Biro Meteorologi Australia.
Agensi Meteorologi Jepun pula berkata, tsunami juga dijangka sampai ke pantai Pasifik negara itu, dengan kemungkinan ombak setinggi tiga meter. – Malaysiapost

