Kursus TVET perlu selari pasaran kerja

0
2

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menyusun semula program kursus yang ditawarkan menerusi kursus Teknikal dan Vokasional (TVET) agar selari perkembangan dan permintaan pasaran kerja sektor industri.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata program TVET yang ditawarkan juga perlu memastikan pelajar lulusannya mendapat jaminan pekerjaan.

“Dalam TVET ni ada banyak bidang, ada tiga peringkat persijilan, diploma dan ijazah tetapi yang dia buat tu kena matching dengan industri yang ada, contohnya minyak dan gas ada dalam TVET UniKL, boleh ke tidak matching dengan industri.

“Bila kita cakap pasal automotif yang ada di dalam industri tu jenis mekanik yang macam mana yang diperlukan dalam industri automotif, kereta-kereta moden sekarang ini sudah guna hibrid, ada yang pakai separuh petrol separuh bateri dan akan datang ini adalah EV kereta-kereta elektrik,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Baucer Persekolahan 2022 Parlimen Padang Terap di Dewan Bangunan Umno Padang Terap, semalam.

Jelas Mahdzir, walaupun kebolehpasaran lulusan TVET KPLB ketika ini pada tahap 88 peratus, angka itu boleh ditingkatkan jika semua program kursus yang ditawarkan memenuhi kehendak industri.

“Sekarang kita sudah ada (kerjasama) dengan pemain industri, cumanya kalau kita ambil pelajar misalnya 40 pelajar, adakah pelajar itu mendapat kerja atau tidak.

“Kita tidak mahu mereka yang lulus diploma TVET misalnya tetapi tidak mendapat kerja kerana tidak selari dengan industri,” katanya.

Mahdzir menjelaskan, antara bidang kursus yang  perlu dikaji semula untuk memenuhi keperluan industri adalah perkapalan, kejuruteraan rel keretapi, automotif, minyak dan gas serta fesyen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here