‘Daniel bukan seorang agresif, tak pernah berparang’ – Ibu

0
3

IBU kepada Daniel Iskandar Mohd Nasir, 19, yang tular dimandikan seperti jenazah mempertahankan anaknya dengan mendakwa remaja itu tidak pernah bertindak agresif dan mengugut ahli keluarga menggunakan senjata.

Berkenaan dengan isu mencuri motosikal atuknya, ibu remaja itu yang mahu dikenali sebagai Kak Jas menjelaskan bahawa perkara itu hanya rekaan rakan-rakan Daniel.

“Daniel tak pernah berparang, tak pernah pegang pisau. Pasal jual motor atuk dia, kawan-kawan yang buat cerita, padahal motor atuk dia elok ada dalam tu (tunjuk ke arah motosikal diletakkan di luar rumah),” katanya memetik laporan Free Malaysia Today.

Menurutnya, anak sulungnya itu dimasukkan ke sekolah tahfiz selepas dia berpisah dengan bekas suaminya kira-kira 12 tahun lalu dan Daniel dijaga bapanya ketika berumur 15 hingga 18 tahun.

Katanya, anaknya memilih jalan salah disebabkan tekanan kerana terpaksa hidup dalam keluarga berpecah belah apabila dirinya dan bekas suami bercerai.

“Saya tidak pernah salahkan anak saya sebab kami tidak dapat bagi dia yang terbaik, dia jadi macam ni sebenarnya disebabkan masalah keluarga, mak bapa berpisah dan (keluarga) berpecah belah, anak-anak yang jadi mangsa,” katanya lagi.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, Daniel seorang yang lembut, manja dan tidak melawan apabila dimarahi atau ditegur.

“Dia seorang yang tenang, tidak melawan, tidak banyak cakap, bila orang marah dia diam sahaja, bukan seorang yang agresif…dia seorang anak yang baik sebenarnya,” ujarnya.

Sementara itu, datuk kepada Daniel, Rosli Sidek, 65, kesal dan berasa difitnah kerana beberapa laporan media yang didakwanya menokok tambah cerita bukan daripada pihaknya sendiri.

“Pakcik ni…datuk kepada Daniel, difitnah oleh media-media yang telah buat berita tokok tambah sehingga membuatkan (isu Daniel) jadi perbalahan, salah erti sehingga berlaku saman-menyaman antara kedua-dua belah pihak (bapa Daniel).

“Bila dibuka semula (laporan media) ditulis dia (Daniel) gunakan parang, siapa cakap? Ini yang kita tak mahu, jadi tanggapan di sana mengatakan saya yang cakap, saya tak cakap pun begitu,” jelasnya.

Disebabkan laporan sedemikian, Rosli berkata, dia kini hidup dalam ketakutan kerana bimbang menerima ancaman daripada pihak tidak berpuas hati dengannya akibat laporan media terbabit.

“Saya sekarang setelah tuan-tuan semua balik, saya takut tau, takut ada yang datang sini menggunakan kekerasan, apa saya boleh buat, siapa nak tolong?

“Hanya pakcik seorang sahaja lelaki dalam rumah ni, yang lain semua anak dan cucu perempuan pakcik. Sejak kes ini, pakcik tidur dalam ketakutan. Nak pergi mana-mana pun tak sedap hati, sebab asyik teringatkan rumah,” katanya.

Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang pada 11.58 malam, 8 Januari lalu.

Remaja itu kemudiannya dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here