Anwar sambut baik kenyataan Ketua Hakim Negara

0
1

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat tidak mencampuri kes-kes berprofil tinggi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan, kenyataan Ketua Hakim Negara telah meredakan kecurigaan umum terhadap institusi kehakiman negara ketika ini.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Ketua Hakim Negara bahawa tidak ada campur tangan dari pihak beliau melibatkan kes-kes berprofil tinggi di negara ini.

“Ini kerana timbulnya kemusykilan dan kecurigaan umum apakah pihak eksekutif mencampuri urusan kehakiman meski kita akui adanya hakim-hakim yang tegas dan patuh tunduk pada hukum.

“Dalam konteks yang serupa, Peguam Negara harus juga memberi respon yang tegas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Tengku Maimun menegaskan beliau sama sekali tidak mencampuri dan secara peribadi tidak pernah didekati pihak tertentu untuk campur tangan dalam kes mahkamah berprofil tinggi yang masih berlangsung.

Tengku Maimun berkata, beliau percaya bahawa hakim lain juga tidak pernah mengalami pengalaman serupa, dan mengulangi pendirian bahawa semua hakim membuat keputusan berdasarkan keterangan di mahkamah dan tidak boleh lari daripada prinsip teras itu.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR juga mendesak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi penjelasan berhubung dakwaan sebelum ini wujudnya gesaan beliau campur tangan urusan mahkamah yang melibatkan kes-kes berprofil tinggi.

“Kita juga menunggu dan menuntut penjelasan lanjut dari Muhyiddin tatkala beliau sendiri yang mendedahkan bahawa wujudnya cubaan untuk mengubungi beliau agar mencampuri urusan mahkamah dalam kes-kes berprofil tinggi,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here