UCAPAN Datuk Mohamaddin Ketapi bahawa pasukan keselamatan berperang dengan ayam dan anjing, telah mengguris serta menyakitkan hati pewaris anggota yang terkorban dalam insiden pencerobohan Lahad Datu.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kenyataan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) itu telah menghina anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam mempertahankan bumi Tanduo.
Katanya, ketika kejadian itu, beliau memegang jawatan Menteri Pertahanan dan ada pemimpin pembangkang tidak berpuas hati, malah menghina tindakannya mempertahankan kedaulatan Sabah.
“Namun, apabila ada pihak hina anggota perwira kita yang terkorban ketika bertempur dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, kita tidak boleh diterima.
“Ada pemimpin pembangkang kata tindakan saya itu jijik. Saya tak kecil hati kerana yang penting ialah kepentingan Sabah.
“Tetapi, semalam ada pemimpin pembangkang tanpa rasa malu, bersalah atau bersimpati, telah memfitnah kononnya peristiwa pencerobohan Lahad Datu sebagai sandiwara. Tuduhan ini memang saya sedih, marah dan terkilan,” katanya menerusi akaun Facebook beliau, hari ini.
Menurut Hishammuddin, beliau pernah berkhidmat di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta tahu bagaimana para perwira menjalankan tugas mempertahankan negara.
“Saya pernah di MINDEF dan KDN. Saya faham susah payah dan jerit perih perwira kita bertugas mempertahankan tanah air.
“Mereka bersengkang mata, berjauhan dengan keluarga dan bersiapsiaga siang malam. Cabaran yang mereka hadapi sebahagiannya tidak pernah terbayang di fikiran kita sebagai rakyat biasa.
“Saya sendiri menyaksikan gambar perwira kita yang gugur di Lahad Datu dalam keadaan yang amat menyayat hati. Saya sendiri bertemu mereka kita yang tercedera,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Mohamaddin perlu berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata, jangan kerana terdesak hendak menang Pilihan Raya Negeri (PRN), sanggup mempermainkan perasaan dan isu negara.
“Saya nak tanya Mohamaddin, ke mana hilangnya rasa tanggungjawab dan hormat terhadap perwira kita yang sanggup pertaruh nyawa semasa pencerobohan tersebut? Sepatutnya beliau lebih matang dan sensitif.
“Kalau terdesak sekalipun untuk menang #PRNSabah, janganlah sampai memutarbelitkan isu keselamatan sebagai modal ceramah kempen. Ia amat memalukan dan tidak boleh diterima sama sekali.
“Kepada pemimpin pembangkang, ada tak yang nak bidas Mohammadin Ketapi?,” soal belilau.
Terdahulu, tular satu video memaparkan ucapan Mohamaddin yang mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu hanyalah peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.
Bagaimanapun, bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu memohon maaf dan mendakwa video berkenaan adalah permainan kotor pihak tertentu yang mahu menjatuhkan maruah Parti Warisan. – MalaysiaPost

