SEORANG lelaki maut apabila lori yang dipandunya merempuh sebuah perhentian bas dan gerai makanan di Jalan Hulu Langat, Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 58 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, insiden itu berlaku ketika pemandu terbabit dalam perjalanan dari Hulu Langat ke Batu Sembilan.
“Mangsa dikatakan cuba mengelak sebuah lori lain yang diparkir di tepi jalan, tetapi gagal dan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah perhentian bas dan gerai makanan berhampiran,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa mungkin kehilangan upaya ketika memandu yang menjadi punca dia hilang kawalan ke atas lorinya.
Katanya, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Menurut Azman, kedua-dua lori termasuk yang diparkir di tepi jalan kini berada di Balai Polis Trafik Kajang untuk pemeriksaan Puspakom.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaPost

