Umno nafi catur PRN Johor

0
2
bangunan umno

UMNO menafikan sedang mencatur Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk diadakan dalam masa terdekat ini.

Setiausaha Umno Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata parti itu juga menafikan mengadakan perbincangan dalaman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus memberi laluan PRN diadakan.

Sebaliknya, Samsolbari menjelaskan, tumpuan Umno kini ialah berkhidmat kepada rakyat yang menghadapi bencana banjir mahupun mengekang penularan Covid-19.

“Kita sendiri belum membuat sebarang perbincangan. Itu hanyalah spekulasi. Sesiapa sahaja ada hak untuk membuat spekulasi.

“Umno dan Barisan Nasional (BN) seperti biasa terus bekerja membantu rakyat sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14. Tumpuan kini kepada mengekang penularan Covid-19 dan banjir.

“Saya lihat semua orang mahu bercakap mengenai PRN. Bukan sahaja Umno, malah semua parti sudah bersedia menghadapi pilihan raya,” katanya dipetik Berita Harian.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis tertutup Seminar Pemantapan Jentera PRU Ke-15 Parlimen Kulai, hari ini.

Spekulasi PRN Johor kian hangat apabila media melaporkan, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Umno bersiap sedia bagi menghadapi PRN, sekiranya DUN dibubarkan dalam waktu terdekat.

Katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno juga telah memberi lampu hijau kepada parti untuk bersiap sedia menghadapi PRN Johor bagi menubuhkan kerajaan lebih stabil, berbanding majoriti satu kerusi ketika ini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here