PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan tidak sesekali akan menyerahkan jawatan ketua menteri kepada Tan Sri Musa Aman kerana rakyat negeri ini tidak mahu lagi dikuasai kerajaan Persekutuan.
Katanya, Musa tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana tidak diterima Barisan Nasional (BN), bukan kerana tidak minta dicalonkan seperti didakwa Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Saya tidak boleh jadi YB, ketua menteri kalau rakyat tidak undi.
“Pasal itu bila Musa Aman berucap, bagi janji, dia tidak tahu saya ‘innocent’. Ini orang gila mahu jadi ketua menteri.
“Dia tidak tanding pasal apa? Pasal BN tidak bagi dia calon. Bung Moktar bilang (cakap) dia tidak minta, saya tahu dia minta tapi tak dapat,” katanya ketika berucap dalam bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Bandar Kim Fung, Sandakan hari ini.
Mohd Shafie berkata, Sabah sudah 60 tahun merdeka bersama Malaysia, namun masih tertinggal dalam pembangunan kerana hasil minyak dan gas negeri ini diambil kerajaan Persekutuan.
Katanya, Umno, BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam kempen mereka mendakwa penduduk akan menderita jika tidak menyokong kerajaan Persekutuan, biarpun hakikatnya, negeri ini tidak membangun kerana sumber kekayaannya diambil.
“Tadi saya ke Nabawan, Tulid dan Sook, di kampung-kampung jalan raya masih berlumpur, air pun tiada.
“Saya pergi kampung, jambatan simen tiada. Pulau Pinang dua jambatan, Johor buat lagi jambatan ke Singapura sampai dua.
“Di pedalaman jambatan apa kita ada? 60 tahun mereka (Semenanjung) cerita jambatan simen, kita cerita jambatan gantung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Sabah turun mengundi pada 26 September ini bagi menentukan sendiri ketua menteri dan kerajaan yang mereka mahu, bukannya ditentukan oleh kerajaan Persekutuan. – Malaysiapost

