PRN Sabah: Bongawan dapat menteri jika LDP menang

0
1
KOTA KINABALU, 15 Sept -- Bekas Ketua Menteri Sabah ke-13, Tan Sri Chong Kah Kiat ketika ditemu bual wartawan Bernama di kediamannya baru-baru ini. Beliau berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti kononnya untuk membela nasib rakyat adalah alasan semata-mata dan sebaliknya demi kepentingan peribadi. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

PENDUDUK Dewan Undangan Negeri, (DUN) Bongawan bakal mendapat menteri jika Parti Liberal Demokratik (LDP) dan calonnya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Ia selepas calon LDP, Mohd Azree Abd Ghani diumum akan dilantik menteri jika menang kerusi DUN Bongawan dan LDP berjaya membentuk kerajaan pada 26 September ini.

Perkara itu dinyatakan Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP, Tan Sri Chong Kah Kiat dalam ceramahnya di Kampung Tengah, di sini, sebagai tanda sokongan dan keyakinan terhadap kemampuan Mohd Azree.

Pelantikan sebagai menteri penuh juga, katanya, bagi mengembalikan maruah rakyat Bongawan selepas sekian lama wakil rakyatnya tidak diberi kepercayaan menjadi menteri walaupun mempunyai pengalaman dalam bidang berkaitan.

“Bekas wakil rakyat dulu juga kawan saya, Dr Daud Yusof, orangnya bagus, saudara Azree juga tetapi saya sakit hati kerana dia tak dihormati oleh pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Tiada sebab kenapa Dr Daud yang berpengalaman dalam bidang pertanian dan penternakan menjadi pembantu menteri saja kepada seorang budak yang langsung tiada pengalaman.

“Warisan tak beri muka kepada Dr Daud tidak apa, tapi yang lebih menyakitkan kita ialah Warisan langsung tidak beri muka kepada rakyat Bongawan, itu yang penting. Jadi penduduk Bongawan mesti ambil balik maruah kita,” katanya.

Kah Kiat mendakwa, bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Junz Wong tiada pengalaman dalam bidang pertanian berbanding Dr Daud.

Sehubungan itu, bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, LDP memberi keyakinan penuh kepada Mohd Azree untuk menjadi menteri penuh bagi mengembalikan maruah rakyat Bongawan jika LDP menang di kerusi itu dan membentuk kerajaan negeri.

Tegasnya, rakyat Bongawan perlu membantu merealisasikan perkara itu dengan memastikan undi kepada Mohd Azree walaupun disogok dengan wang oleh parti lain yang mahu membeli maruah mereka.

“Kali ini sama ada kamu mahu calon ikhlas atau tidak, terpulang tapi saya boleh cakap sebagai Presiden Kehormat LDP, mudah-mudahan pada 26 September ini kita menang dan LDP tubuh kerajaan mulai 27 September.

“Saya selaku Ketua Menteri sekali lagi, kita di Bongawan akan ada menteri penuh. Menteri penuh seorang muda yang layak kerana prihatin kepada penduduk Bongawan, itu kita mahu,” katanya. – Malaysiapost