PEMUDA yang tular ‘dimandikan’ seperti jenazah selepas ditangkap mencuri tabung masjid dikatakan berbuat demikian atas desakan untuk membantu datuknya yang menghidap penyakit kronik.
Perkara tersebut dijelaskan peguam, Azman Abdullah yang mewakili Daniel Iskandar, 19, secara pro bono (tanpa bayaran) yang merayu agar mahkamah menjatuhi hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama kali anak guamnya serta dia telah insaf.
“Anak guam saya memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid. Alasan dia (cuba mencuri) kerana dia perlukan duit untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis. Dia cuba meminta kepada orang tetapi mereka tidak boleh tolong,” kata Azman pada prosiding di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.
Menurutnya, Daniel merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan ibu-bapa pemuda tersebut telah bercerai sejak dia berusia lapan tahun.
Beliau menjelaskan, Daniel tinggal bersama datuknya yang kini berusia lingkungan 70-an dan kehidupan mereka tidak begitu senang, di mana makanan seharian mengharapkan sedekah jiran tetangga.
“Dia cuba meminta daripada orang lain tetapi mereka tidak boleh tolong. Yang Arif, tiada kerugian kerana ia hanya cubaan semata-mata, malah dia sangat memerlukan wang itu,” katanya.
Dalam pada itu, Azman berkata meskipun Daniel bersalah, tindakan pihak merakam dia dihukum dimandikan seperti jenazah oleh pegawai masjid adalah tidak wajar kerana menyebabkan tekanan kepada pemuda itu dan keluarga.
Terdahulu, remaja yang tular menerusi video dimandikan seperti jenazah akibat mencuri tabung masjid, dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pemuda telah dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap mencuri duit tabung masjid.
Video berdurasi seminit 25 saat tular di media sosial, telah dikongsikan pengguna Twitter, dengan memaparkan pemuda berkenaan sedang terbaring dan dimandikan oleh pihak masjid sambil diperhatikan penduduk kampung. – Malaysiapost

