KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan kerajaan tidak sepatutnya hanya menumpukan kepada pencarum mempunyai baki simpanan kurang dari RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau berkata ini kerana pada masa kini ramai rakyat terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sejak tahun 2020 yang turut meliputi semua golongan termasuklah mereka yang dahulunya berada dalam peringkat M40 dan T20.
“Jangan menumpukan kepada mereka yang mempunyai baki simpanan kurang dari 10,000,
“Kita menumpukan 6.3 juta yang masih mempunyai simpanan lebih daripada 10,000 dan mereka berkeperluan hari ini,
“Banyak cara dan kaedah untuk mereka mencarum semula dalam tempoh dua tahun untuk mendapatkan kembali atau menampung kembali 10,000 yang dikeluarkan,” katanya dalam debat bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini.
Debat yang bertajuk KWSP : Lega Sekarang, Susah Kemudian? itu disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Sinar Harian.
Asyraf Wajdi berkata, KWSP mempunyai pelbagai cara dan kaedah yang holistik bagi mendapatkan kembali RM25 bilion iaitu jumlah perbelanjaan dianggarkan jika pengeluaran i-Citra dibenarkan.
Menurutnya, antara cara dan kaedah dicadangkan beliau adalah memberikan projek mempunyai kesan dapatan besar bagi memdapatkan pulangan semula kepada KWSP.
“Saya percaya dengan 25 bilion yang tidak sampai 0.01 peratus sahaja jumlah keseluruhan dana atau aset KWSP.
“Dengan sedikit masa atau tempoh tertentu kita dapat menampung kembali. Yang penting kita bukan memikirkan soal nak merosakkan masa depan mereka, jaminan keselamatan akan datang, kerana banyak cara yang boleh dilakukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa pentingnya mengubah ‘pemikiran’ bahawa KWSP adalah satu-satunya instrumen yang menjamin rakyat di masa hadapan.
“Percayalah, banyak lagi cara dan kaedah untuk bantu mereka. Ini memerlukan kita melihat secara holistik segala kaeda yang boleh digunakan kerajaan, dan penggemblengan rakyat secara keseluruhannya,” katanya. – Malaysiapost

