Najib: Takkan saya bom ayam, Hisham tembak anjing?

0
2

Aiman Hanif

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyindir Datuk Mohamaddin Ketapi yang mendakwa kenyataannya memperlekehkan peranan pasukan keselamatan dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu ditujukan pada BN.

Secara sinis Najib berkata, apakah jet pejuang dan kereta kebal yang digerakkan dalam insiden itu dipandunya dan bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Pemimpin Warisan Plus merangkap bekas Menteri PH (Pakatan Harapan) nafi dia hina pasukan keselamatan. Dia kata dia hina BN sahaja.

“Habis tu yang kamu sindir bahawa anggota keselamatan kita guna jet pejuang dan kereta kebal serang ayam bersama anjing sahaja, apa cerita?

“Takkan saya yang pandu jet pejuang bom ayam, Hisham bawa kereta kebal tembak anjing?,” tulis Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, petang ini.

Najib berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya itu yang mendakwa kenyataannya berhubung isu berkenaan telah disalah tafsir.

Jelas Mohammadin dia hanya ingin menyindir BN yang gagal menyediakan aset pertahanan yang baik sehingga sempadan negara diceroboh.

Terdahulu media melaporkan Mohamaddin yang juga calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 itu hanyalah peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.

Dalam satu video ucapannya yang tular di media sosial, Mohamaddin berkata pihak berkuasa ketika itu mengerahkan segala kekuatan sedangkan perperangan tidak berlaku.

Mengulas lanjut, Najib berkata kenyataan pemimpin Warisan itu satu penghinaan yang sangat besar terhadap pasukan keselamatan negara.

“Dia sindir pasukan keselamatan kita cuma berperang dengan ayam dan anjing masa itu.

“Ini ialah penghinaan sangat besar pada pasukan keselamatan kita yang bertarung nyawa untuk mempertahankan kedaulatan kita, terutama kepada keluarga 10 wira dan 6 warga Sabah yang terkorban,” tulis Najib di Facebooknya.- Malaysiapost