Tuan Ibrahim nafi tak vaksin sebelum tunaikan umrah

0
2

MENTERI Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan beliau tidak mengambil vaksin Covid-19 sebelum menunaikan umrah baru-baru ini.

Sebaliknya Timbalan Presiden PAS itu menjelaskan beliau telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada 14 April 2021 di Klinik Kesihatan Presint 18 Putrajaya dengan mengambil vaksin jenis Pfizer.

Selain itu beliau memaklumkan telah mengambil dos penggalak Pfizer pada 2 November 2021 di Pejabat Kesihatan Titiwangsa di ibu negara.

Semalam pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq menasihati Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad supaya tidak mengeluarkan kenyataan melulu mendakwa dirinya membawa jemaah tidak lengkap syarat vaksinasi untuk menunaikan umrah.

Sebaliknya, Abu Syafiq berkata Idris perlu menyemak serta memeriksa terlebih dahulu apa yang dikatakannya sebelum ini adalah mengenai vaksin Meningococcal Meningitis (vaksin MM) bukan vaksin Covid-19.

“Saya ingin menjawab Menteri Agama, Ustaz Idris kononnya nak siasat saya sebab saya tak vaksin MM. Vaksin MM ini adalah vaksin yang dapat buku berwarna jingga dikenali sebagai vaksin Meningococcal Meningitis.

“Tuan Ibrahim Tuan Man pemimpin PAS orang yang bersama dengan Ustaz Idris Menteri Agama sekarang bahkan Tuan Ibrahim (adalah) Menteri Alam Sekitar dan Air, baru-baru ini mengerjakan umrah, tak ada (ambil) vaksin MM.

“Sebab tak salah pun… kerajaan Arab Saudi sudahpun tidak mewajibkan vaksin MM jadi kerana itu ribuan rakyat Malaysia yang mengerjakan umrah termasuk saya tidak ambil vaksin MM, cuma sebahagian sahaja yang ambil.

“Jadi hati-hati buat kenyataan… beza vaksin MM dan vaksin yang lain. Jadi periksa Menteri Alam Sekitar mengerjakan umrah sama ada ambil vaksin MM atau pun tidak,” katanya menerusi sebuah video di Instagramnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebelum dirinya disiasat, Idris perlu menyemak perkara itu dengan Tuan Ibrahim bagi mengetahui sama ada pemimpin PAS mengambil vaksin MM ataupun tidak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here