Penghinaan nyata kepada rakyat Sabah, anggota keselamatan – Ismail Sabri

0
2

KEMENTERIAN Pertahanan menyifatkan tuduhan Datuk Mohamaddin Ketapi bahawa peristiwa pencerobohan di Kampung Tanduo pada 2013 sebagai sandiwara, adalah penghinaan nyata kepada rakyat Sabah, khususnya anggota keselamatan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam peristiwa itu 10 anggota keselamatan terkorban dan adalah amat tidak wajar pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menyatakan mereka korban politik sesetengah pihak.

“Apakah beliau sedar setiap anggota keselamatan menyabung nyawa untuk mempertahankan kedaulatan tanah Sabah dan bumi Malaysia ini dari serangan pengganas yang menyeberangi lautan dari Pulau Siminul di Filipina.

“Ini untuk memastikan rakyat dan bumi ini tidak ditakluk atau diceroboh. Keamanan yang beliau nikmati hari ini hasil dari semua pejuang, terdiri anggota keselamatan pelbagai agensi yang menggadaikan nyawa memastikan keamanan.

“Saya amat yakin jika pemimpin ini boleh mengeluarkan penghinaan ini dalam ceramah parti Warisan, maka ia juga mungkin pendirian parti itu keseluruhannya jika tidak dinafikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, Ismail Sabri mengajak rakyat Sabah, terutama anggota keselamatan agar tidak menyokong atau memberikan undi kepada mana-mana calon dari Warisan dan sekutu mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Terdahulu, Mohamaddin memohon maaf berhubung video tular mendakwa beliau menghina anggota keselamatan berkaitan insiden pencerobohan Lahad Datu.

Bagaimanapun, calon Parti Warisan Sabah (Warisan) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama di Lahad Datu itu mendakwa kenyataannya ketika berkempen di Kampung Wawasan itu disalah ertikan.

Dalam video tular itu, Mohamaddin antara lain mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu tujuh tahun lalu, hanyalah sandiwara dan anggota keselamatan hanya berperang bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’. – Malaysiapost