Penembusan Terowong Genting ECRL ambil masa 3 tahun

0
2

PROSES bagi melengkapkan penembusan Terowong Genting bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bermula Julai tahun lalu, dijangka mengambil masa tiga tahun.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata proses tersebut dilaksanakan menggunakan mesin pengorek terowong (TBM) yang mana mesin pertama telah tiba pada Julai lalu bagi menjalankan kerja mengorek terowong.

Katanya, ketibaan TBM itu detik penting bagi projek ECRL yang akan melengkapkan ‘jambatan darat’ seterusnya menghubungkan Kelantan hingga Pelabuhan Klang pada masa akan datang untuk industri kargo.

Menurutnya, ia juga dapat menghubungkan para penumpang dari Pantai Timur dan Barat.

“TBM ini direka khas untuk kegunaan dalam keadaan tanah batuan keras serta dilengkapi dengan empat silinder tork. Setiap kepala TBM mempunyai berat 900 tan dengan panjang 25 meter dan diameter 8.98meter.

“Manakala gantri sokongannya pula menempatkan bilik kawalan dan pencawang, mempunyai berat 1,600 tan dan berukuran 266 meter panjang, menjadikannya antara TBM terbesar untuk kerja mengorek terowong laluan rel di Malaysia.

“Dengan kapasiti penggalian maksimum 700 meter sebulan, TBM akan menjalankan tiga tugas utama bawah tanah iaitu menggali terowong, mengangkut sisa galian ke permukaan dan memasang panel konkrit sebagai dinding terowong,” katanya hari ini.

Terdahulu Ka Siong mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Terowong Genting bagi ECRL tersebut.

Beliau memberitahu, tapak pembinaan Terowong Genting ECRL itu berkeluasan lebih tujuh hektar dengan hampir 200 pekerja, mempunyai beberapa kemudahan fasiliti termasuk pejabat satelit, kuarters pekerja, loji pengelompokan konkrit, pusat penyimpanan bahan, pusat pemprosesan besi dan makmal bagi tujuan memudahkan kerja-kerja pembinaan dilakukan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here