Kerajaan culas kendali isu banjir – Syed Saddiq

0
2
Syed Saddiq hadir ke IPD Dang Wangi hari ini bagi memberi keterangan terhadap Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai kegagalan memakai face mask.

PRESIDEN Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kerajaan culas dalam mengendalikan isu banjir selain tidak responsif sepanjang bencana berkenaan melanda negara.

Ahli Parlimen Muar itu, berkata sehingga hari ini tidak ada menteri yang benar-benar menggalas tanggungjawab untuk menguruskan isu bencana berkenaan.

“Apabila saya sebut kerajaan culas dalam krisis banjir, inilah yang saya maksudkan. Kalau kerajaan ingat, krisis banjir ini dah bermula dari pertengahan bulan Disember 2021.

“Banjir di Selangor pada 19 Disember 2021; Pahang (19 Disember 2021); Melaka (30 Disember 2021) dan Johor (1 Januari 2022). Ini anggaran tarikh yang saya ingat,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Syed Saddiq, dalam tempoh yang panjang itu kerajaan memang jelas tidak responsif kerana sehingga hari ini tidak ada sidang media harian yang jelas mengenainya.

“(Malah) tidak ada laporan kerosakan yang ditanggung mangsa banjir, tidak ada menteri yang benar-benar galas tanggungjawab untuk urus banjir.

“Krisis di Taman Sri Muda dah viral sejak Day-1 krisis banjir. Air naik memang sangat deras. Mangsa dah banyak terperangkap di atas bumbung.

“Ada bayi yang kesejukan masih duduk di atas bumbung rumah. Sama juga di Sri Nanding, Hulu Langat,” katanya.

Menurut, Syed Saddiq situasi berbeza ketika penularan pandemik Covid-19 yang mana Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham membuat sidang media harian bagi melaporkan perkembangan semasa.

“Kenapa banjir kali ni tak ada? Kenapa lepas tangan? Ingat, pembangkang juga dah usulkan untuk bawa usul krisis banjir pada 20 Disember 2021 tetapi ditolak.

“Sekarang, barulah kerajaan nak buat mesyuarat khas Parlimen berkenaan banjir. Itupun pada 20 Januari 2022,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, beliau tidak pasti mengapa hal krisis negara sebegini besar boleh ditangguh dan dilengah-lengahkan kerajaan.

“Adakah menteri terlalu sibuk membantu mangsa banjir di kawasan terkesan? Atau menteri fikir krisis banjir ini tidak begitu besar dan boleh ditunggu sehingga hujung bulan 1 tahun baru?

“Tepuk dada tanyalah diri sendiri. Saya akan hadir untuk mesyuarat khas Parlimen ini dan akan bawa isu yang dihadapi mangsa banjir,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan satu sidang khas Dewan Rakyat berkaitan bencana banjir akan diadakan pada 20 Januari ini.

Perdana Menteri berkata, ketetapan itu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here