KEHILANGAN seorang lelaki selepas diculik dua suspek sejak empat bulan lalu terungkai apabila polis menemui mayatnya dalam kebun sawit di kawasan Bidor di Perak, kelmarin.
Mayat mangsa bunuh itu ditemui selepas polis menahan suspek berusia 30 tahun yang disyaki terlibat dalam kes tersebut di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Selangor.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata mangsa berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pemotong buah sawit dilarikan pada 13 September 2021 ketika berada bersama pengadu di kolam ikan Kampung Poh, Bidor.

Bagaimanapun katanya, polis menerima laporan daripada pengadu berhubung kejadian itu pada 3 Oktober lalu yang menyatakan mangsa diserang dua suspek bersenjatakan kayu sebelum dilarikan dengan sebuah kenderaan.
“Pengadu juga diugut untuk tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa sebelum ditinggalkan (di lokasi kejadian) dan siasatan mendapati punca kejadian disebabkan masalah hutang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mior Faridalathrash berkata susulan risikan dan maklumat, polis berjaya mengesan seorang suspek terlibat yang kemudian mendedahkan mangsa telah dibunuh di sebuah kebun sawit dalam kawasan Bidor.
“Berpandukan maklumat suspek, polis menemui mayat mangsa dalam keadaan dibungkus menggunakan kanvas.
“Suspek direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes culik mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan reman akan disambung mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
“Bedah siasat terhadap mangsa akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya. – Malaysiapost

