AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup lima laras senapang angin disyaki dari Indonesia di perairan Pulau Sialu, Batu Pahat semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, hasil maklumat risikan dan intipan di perairan Batu Pahat, telah menemukan dan merampas lima laras senapang angin pada 7.20 malam semalam.
“Sewaktu pemeriksaan sekitar kawasan Beacon Panjang Utara telah menjumpai satu karung guni putih dan satu beg hitam berisi senjata api jenis senapang angin beserta sebuah kotak besi berisi peluru jenis bearing berhampiran Pulau Sialu.
“Keseluruhan barang dirampas dianggarkan bernilai sekitar RM10,000 dan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Senjata Api 1960, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan Johor khususnya Batu Pahat selamat, aman dan terkawal.
“Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999,” katanya. – Malaysiapost

