Jangan rendahkan nilai patriotisme demi undi

0
2

AHLI politik janganlah merendahkan nilai patriotisme hanya kerana mahu meraih undi, kata penganalisis politik, Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri.

Pengkaji bidang politik dan pentadbiran kerajaan itu memberi reaksi demikian susulan dakwaan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi kononnya anggota keselamatan yang terlibat dalam insiden di Kampung Tanduo, Lahad Datu, hanya berperang dengan ayam dan anjing.

Katanya, kenyataan calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu ibarat cuba memperlekehkan tugas dan pengorbanan pasukan keselamatan.

Menurutnya, sebagai pegawai keselamatan yang bertugas di Jabatan Perdana Menteri ketika kejadian itu tujuh tahun lalu, beliau menyifatkan kenyataan tersebut tidak benar dan melampaui batas. 

“Kenyataan itu sudah pasti mengguris hati pasukan keselamatan khususnya ahli keluarga pegawai dan anggota polis serta tentera yang terkorban.

“Keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh diperkotak-katikkan dan dipandang remeh,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.

Terdahulu, tular satu video memaparkan ucapan Mohamaddin mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu hanyalah peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.

“Jadi ada peperangan konon di Tanduo. Datanglah jet di Tanduo, dibomnya kelapa sawit orang.

“Habis hangus kelapa sawit orang, habis hangus rumah orang. Koyak rumah orang ditembak. Ini kenyataan.

“Habis itu, disuruh kereta kebal masuk di Kampung-kampung suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tiada. Ayam sama anjing di kampung kawan dia berperang,” katanya. – Malaysiapost