SIASATAN berhubung kes seorang suri rumah yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang hakim kanan ketika berada di rumah mangsa di Ampang masih diteruskan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihak Timbalan Pendakwa Raya mengembalikan semula kertas siasatan kes tersebut kerana memerlukan maklumat tambahan.
“Ya, siasatan berhubung kes tersebut masih dijalankan oleh polis,” katanya yang mengesahkan perkara berkenaan, lapor Sinar Harian, hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita tempatan hari ini melaporkan berkenaan kejadian yang dilaporkan oleh mangsa, 57, pada Disember lalu.
Mangsa mendakwa kejadian tersebut berlaku pada Ogos 2020 semasa suspek datang ke rumahnya, yang mana ketika itu suami mangsa sedang terlantar sakit.
Suspek didakwa meminta izin untuk solat, tetapi mengambil masa terlalu lama di dalam bilik dan apabila diperiksa mangsa mendapati lelaki itu sedang tidur dalam keadaan bogel. -Malaysiapost

