Covid-19: Tambah baik SOP umrah, elak jemaah dijangkiti – Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta kerajaan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) ibadah umrah bagi mengelak ramai jemaah dijangkiti wabak Covid-19.

Beliau berkata, sekiranya hal itu dapat ditangani, maka kebarangkalian atau risiko untuk jemaah dijangkiti dan penularan wabak itu di Malaysia dapat dikurangkan ke paras terendah.

“Pandangan ini bukan terlalu optimistik memandangkan lebih ramai jemaah umrah yang tidak dijangkiti berbanding yang dijangkiti,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya bersimpati terhadap bakal jemaah umrah yang tidak berkesempatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci kerana sekatan dikenakan kerajaan Malaysia.

Malah, katanya, beliau juga simpati terhadap nasib agensi pelancongan yang menyediakan perkhidmatan umrah kerana terpaksa menanggung kerugian besar sekali lagi.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun telah menjelaskan justifikasi untuk kerajaan menyekat rakyat daripada menunaikan umrah selama sebulan.

“Ia ekoran banyak kes jemaah umrah dikesan positif Covid-19 sejak kumpulan pertama jemaah umrah berlepas ke Tanah Suci pada 13 Oktober lalu.

“Bagaimanapun kita berharap isu itu dapat diselesaikan dalam kadar segera agar tempoh sekatan tidak berlanjutan lebih lama,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau juga terkejut dengan pendedahan terdapat dalam kalangan jemaah umrah Malaysia yang tidak divaksin.

“Kita menyeru kepada mereka yang belum divaksin dan memasang hasrat mengerjakan umrah supaya berlaku jujur kepada diri sendiri.

“Ia bukan semata-mata berkenaan faktor syarat atau peraturan ditetapkan pihak berwajib, tetapi jauh lebih penting adalah tentang keselamatan diri,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, Umno juga kesal dengan kenyataan seorang peguam dan aktivis berkenaan jemaah umrah baru-baru ini berhubung isu ‘layanan istimewa’.

“Beliau (Aktivis) kata jemaah umrah tidak patut diberi layanan istimewa kerana mereka yang memilih untuk ke luar negara sama seperti orang ke negara lain.

“Kita pula kata jemaah umrah sememangnya seharusnya diberi layanan istimewa kerana mereka ke sana menunaikan ibadah. Noktah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here