PENGARAH Teknikal, Michael Feichtenbeiner kini memangku tugas sebagai ketua jurulatih Selangor susulan penamatan kontrak B Sathiananthan hari ini.
Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi kenyataan memaklumkan pemangkuan jawatan itu adalah sehingga ketua jurulatih baharu diumumkan.
FAS memaklumkan, keputusan menamatkan kontrak Satiananthan sebagai ketua jurulatih pasukan utama Selangor dibuat setelah membuat penilaian dan mengambil kira kesemua aspek prestasi semasa.
“FA Selangor ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada B Satiananthan atas khidmat beliau membawa pasukan Selangor ke tempat ketiga dalam saingan Unifi Liga Super 2019 serta mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.”
Khidmat Sathia ditamatkan dipercayai susulan kekalahan besar 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu lalu.
Sementara itu, selain memegang jawatan sebagai Pengarah Teknikal, Feichtenbeiner turut diberi tugas sebagai ketua jurulatih pasukan pembangunan iaitu Selangor II yang beraksi dalam saingan Liga Perdana.
Ironinya, Selangor II turut tewas 1-6 kepada JDT II dalam aksi Liga Perdana, malam tadi.
Feichtenbeiner yang berasal dari Jerman pernah melatih skuad Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kira-kira 15 tahun lalu. – Malaysiapost

