Polis siasat penganjuran ‘Konvoi Selamatkan SPRM’

0
3

BEBERAPA pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) dipanggil untuk membantu siasatan berhubung konvoi bantahan berhubung isu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diadakan di Putrajaya, semalam.

Perkara itu dimaklumkan Ketua AMK, Akmal Nasir yang turut dipanggil bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, esok.

Menurutnya, terdahulu AMK membuat laporan polis di IPD Dang Wangi pada Jumaat lalu diikuti dengan laporan polis di setiap negeri bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

“Ini adalah susulan kontroversi pengakuan Azam Baki bahawa Akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) Saham miliknya tetapi menggunakan wang adiknya untuk pembelian saham dan waran yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

“Mengambil kira pendirian Perdana Menteri yang acuh tidak acuh dalam krisis SPRM ini, semalam AMK meneruskan desakan melalui ‘Konvoi Selamatkan SPRM’ bagi menyampaikan bantahan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, susulan daripada konvoi bantahan itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil beberapa orang kepimpinan AMK hadir ke IPD Putrajaya esok untuk disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Antara yang dipanggil adalah saya sendiri, saudara S Thiban iaitu Naib Ketua AMK, saudara Syukri Razab iaitu Setiausaha AMK serta saudara P Prabakaran iaitu Ketua AMK Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Batu.

“Sementara kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis, intimidasi terhadap pemberi maklumat mahupun kumpulan pendesak perlu dihentikan segera dan sebaliknya Azam Baki perlu dicutikan untuk siasatan rapi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, mendakwa kerajaan terutama Perdana Menteri dilihat masih pasif berhubung isu berkenaan dan tidak menghiraukan gesaan orang ramai agar ‘darurat integriti’ ini segera dipulihkan.

“AMK mengambil pendirian untuk meneruskan desakan sehingga krisis integriti ini ditangani dengan lebih serius oleh pihak kerajaan.

“Justeru AMK akan menyerahkan ‘Memorandum Rakyat’ di hadapan Bangunan Parlimen ketika Persidangan Khas Parlimen pada 20 Januari ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi menjadikan serahan memorandum itu sebagai referendum kebimbangan rakyat, AMK akan mengadakan konsultasi bersama aktivis, kumpulan masyarakat sivil, NGO, aktivis mahasiswa, serta kumpulan pendesak lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here