Abu Zahar serah kedudukannya pada kerajaan, Agong

0
4

PENGERUSI Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang, menyerahkan kedudukan jawatannya kepada budi bicara kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong susulan isu berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau bersedia menerima apa jua keputusan jika kenyataan yang dibuat berhubung isu berkenaan sebelum ini dilihat menjatuhkan nama baik SPRM secara keseluruhannya.

Abu Zahar bagaimanapun mendakwa kenyataan yang dibuat berhubung tomahan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media sehingga menyumbangkan kepada salah tanggapan di kalangan masyarakat.

“Sidang media yang diadakan pada 5 Januari lalu, dalam perspektif yang betul dan tepat, sepertimana ianya telah dihasratkan, namun malangnya telah memberikan gambaran yang tidak tepat kepada masyarakat awam yang mengikut laporan media berkaitan.

“Terdapat pelbagai isu selain isu berkaitan “alegasi salah laku” terhadap Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki, yang telah diberi pandangan dan pendapat LPPR, tetapi itupun tidak disentuh dan dilaporkan media. Apatah lagi, video berkaitan sidang media yang tular, cuma memaparkan sebahagian kecil kenyataan saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan, LPPR sememangnya tidak mempunyai kuasa untuk melakukan siasatan sendiri berkaitan apa-apa salah laku jenayah terhadap mana-mana pegawai SPRM, dan cuma mempunyai kuasa untuk memberi pandangan dan cadangan selari dengan peruntukan Seksyen 13(5)(a) Akta 694.

Menurutnya, siasatan berkaitan tomahan terhadap Ketua Pesuruhjaya itu, masih terbuka untuk diteruskan oleh mana-mana agensi di atas pendapat dan seliaan Pejabat Peguam Negara. 

“Saya mahupun mana-mana rakan anggota LPPR, saya percaya, tidak langsung berhasrat untuk menghalang siasatan lanjut itu, jika ada, malah adalah digalakkan atas konsep kedaulatan undang- undang, supaya nama baik dan integriti SPRM akan sentiasa berada di tahap tertinggi menurut lunas undang-undang,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, Abu Zahar dilaporkan berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM berhubung dakwaan pemilikan saham.

Menurutnya, Azam memberi penjelasan dan mengakui tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pemilikan saham seperti yang didakwa sebaliknya saham itu adalah milik adiknya yang menggunakan akaunnya serta sudah dikembalikan.  – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here