PENGERUSI Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang kesal dengan kenyataan enam ahli LPPR berhubung kes Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang disifatkan membelakangi beliau.
Beliau kesal dengan kenyataan dikeluarkan itu, yang dilihat seperti ingin menjauhkan diri daripada kandungan kenyataan yang dibuatnya pada 5 Januari lalu, yang beliau percaya dilakukan atas dasar reaksi tidak popular berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini mereka mempunyai perhubungan baik sejak dilantik menganggotai Ahli Jawatankuasa Penasihat SPRM mengikut Peruntukan Seksyen 13(5)(a) Akta 694.
Abu Zahar turut berkongsi kronologi komunikasinya dengan Ahli-ahli Jawatankuasa LPPR SPRM sehari sebelum berlakunya tindakan kesemua enam Ahli-ahli tersebut mengeluarkan kenyataan media pada 8 Januari lalu.
“Pada 7 Januari 2022, jam 6:19 petang, Datuk Seri Azman Ujang, telah menghantar pesanan Whatsapp kepada saya, “The issue is getting hotter and hotter”.
“Pada jam 6:22 petang, Datuk David Chua Kok Tee telah memberi respon kepada text Datuk Seri Azman Ujang, “LPPR need to meet and discuss this matter urgently and come up with a clear statement to state LPPR position by early next week. Keep silent is not an option”.
“Pada jam 6:27 petang, Tan Sri Ismail Omar text; ‘Yes we’re meeting on 11th Jan. Need to address relevant issues’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, di atas pandangan dan permintaan itu beliau telah menyatakan persetujuan untuk mengadakan perjumpaan tertutup pada 11 Januari 2022, jam 10 pagi di Pejabat Akademi SPRM di Jalan Duta Kuala Lumpur.
“Tiba-tiba, 8 Januari 2022, saya dapati keenam-enam ahli LPPR tersebut telah mengadakan mesyuarat diantara mereka terlebih dahulu tanpa memberitahu saya dan telah mengeluarkan kenyataan media,” katanya.
Abu Zahar bagaimanapun menegaskan bersedia untuk disiasat oleh mana-mana pihak atau organisasi berhubung isu bekenan demi menjaga kedudukan institusi SPRM.
“Lebih penting ialah kedudukan institusi SPRM mendapat sokongan daripada rakyat, yang bertujuan utamanya memerangi gejala jenayah rasuah dan salah guna kuasa tanpa khuatir ‘Without fear or favour’,” katanya. – Malaysiapost

