KeTSA komited memastikan kelestarian sumber asli – Takiyuddin

0
2

JABATAN Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) diarah bekerjasama dengan semua Pengarah Perhutanan Negeri agar segera mengenalpasti kawasan berisiko tinggi di seluruh Semenanjung Malaysia.  

Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan serta-merta itu diambil bagi menangani insiden  lambakan kayu hanyut, puing, gelinciran tanah dan kejadian kepala air di beberapa negeri ekoran berlakunya hujan lebat dan banjir besar.  

“Pada masa ini, JPSM telah menggunapakai aplikasi ‘Forest Monitoring using Remote System’ (FMRS) termasuk penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara ‘real time’.  

“Saya juga telah mengarahkan JPSM untuk mengemukakan laporan tersebut serta langkah-langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan.  

“Selain itu, JPSM juga diminta mengenalpasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan-hutan lipur yang belum dipasang dengan sistem amaran awal untuk pemasangan segera bagi memastikan kawasan tersebut selamat kepada penduduk setempat dan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam sektor pengurusan perhutanan, dasar Kerajaan Persekutuan adalah jelas iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management – SFM).  

“Ia merangkumi pelaksanaan sistem tebangan memilih (Selective Management System – SMS) sejak 1978, Catuan Tebangan Tahunan (CTT) sejak 1981 dan persijilan pengurusan hutan berdasarkan ‘Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification’ (MC&I) sejak 2012. 

“Selain itu, urus tadbir sektor perhutanan dikawal selia melalui Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan ordinan/enakmen perhutanan di negeri-negeri,” katanya.

Tambahnya, kerajaan turut memastikan pengawalan aktiviti pengusahasilan di hutan tanah kerajaan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia bertajuk ‘Panduan Amalan Baik Hutan untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan’ pada 2016.  

Katanya, ia sebagai rujukan utama kepada jabatan perhutanan negeri dan garis panduan itu telah mengambil kira kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti hutan. 

“Ia memberi penekanan terhadap beberapa amalan baik hutan seperti tidak membenarkan aktiviti pengusahasilan semasa musim hujan, keperluan penyediaan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi pengusahasilan yang melebihi 500 hektar, penandaan kawasan pengusahasilan dan larangan tebangan pokok dalam zon penampan sungai,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dari aspek penyelarasan dasar antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, 

Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan penubuhan Majlis Tanah Negara (MTN). 

“Pembentukan MTN bertujuan menyeragamkan dasar-dasar bagi memaju dan mengawal penggunaan tanah bagi tujuan perlombongan, perhutanan, pertanian dan apa-apa maksud lain,” katanya.

Beliau berkata, KeTSA komited dalam memastikan kekayaan sumber asli terus dijaga, diuruskan secara mampan dan digunakan secara bertanggungjawab.  

“Dalam hubungan ini, saya menyeru semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri selaku pengurus sumber asli di peringkat negeri untuk bersama-sama KeTSA memastikan dasar Kerajaan Persekutuan dilaksana dan dipantau demi pembangunan negara yang mampan dan masa depan generasi akan datang,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here