PRN Sabah: PBS tidak akan tarik diri

0
2

PARTI Bersatu Sabah (PBS) bertegas tidak akan menarik diri daripada 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi parti itu.

Pengasas yang juga penasihat parti itu, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata tiada kemungkinan PBS menarik diri kerana calon sudah diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Tiada kemungkinan untuk keluar daripada pertandingan. Tiada kemungkinan sebab calon kita sudah pegang simbol kita.

“Kalau kita tidak mahu bertanding, sebelum pencalonan kita sudah lakukannya (tidak menghantar calon),” katanya selepas Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kiulu hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Gabungan Rakyat Sabah yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PN dan PBS telah mencapai konsensus untuk tidak bersaing di 17 kerusi yang bertembung.

Hamzah berkata, beliau berharap GRS dapat mengumumkan calon tunggal mereka di 17 kerusi itu sebelum hari mengundi pada 26 September ini.

Pairin berkata, PBS juga akan meneruskan perjuangan sendiri dan mengalu-alukan sekiranya ada parti lain yang mahu menjadi ‘kawan’ terutama kerajaan Persekutuan.

Katanya, PBS timbul sebagai parti sendiri agar rakyat terutama generasi muda mengenali PBS sebagai parti tempatan yang berjuang berterusan.

BN, PN dan PBS bertembung di 17 kerusi DUN membabitkan Bengkoka, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tanjung Aru, Kapayan, Moyog, Lumadan, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan, Melalap, Tulid, Sook, Telupid dan Karamunting. – Malaysiapost