Video viral: Polis nafi anggota trafik tampar penunggang motor

0
2

POLIS membuka kertas siasatan susulan video tular dalam aplikasi TikTok berkaitan dakwaan anggota trafik menampar seorang penunggang motosikal, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata berdasarkan siasatan, tiada kejadian seumpama itu berlaku seperti mana yang dinyatakan pemilik akaun tersebut menerusi video tular berdurasi 26 saat berkenaan.

Justeru, katanya, siasatan dijalankan ke atas pemilik akaun mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

“Kejadian seperti dirakam video itu berlaku Sabtu lalu sekitar 2.30 petang semasa pasukan penguatkuasaan trafik menjalankan tugas rondaan dan snap check di Kilometer 100, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur.

“Semasa penugasan itu, anggota telah menahan sebuah motosikal yang ditunggangi dua lelaki yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

“Mereka telah memberi peringatan serta amaran kepada penunggang motosikal tersebut. Tindakan saman juga telah dikeluarkan atas kesalahan tidak mempunyai lesen,” katanya dalam kenyataannya.

Sulizmie Affendy, pihaknya menafikan berlaku sebarang kekerasan termasuk menampar penunggang itu oleh anggota bertugas seperti didakwa pemilik akaun TikTok tersebut.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur khabar angin dan fitnah yang boleh menjejaskan kredibiliti pasukan polis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here