JABATAN Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, sedang mendapatkan pengesahan berhubung penahanan suspek yang terbabit pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Albatsh Fatma, pada 2018.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, PDRM sedang menunggu pengesahan berita penangkapan suspek terbabit dari Kementerian Luar Malaysia dan Kedutaan Malaysia di Palestin.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mendapatkan pengesahan terlebih dahulu mengenai tangkapan suspek terbabit daripada sumber yang sah seperti Kementerian Luar, Kedutaan Malaysia di Palestin, Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hubungan baik dengan pertubuhan NGO di Palestin.
“Sehubungan itu, segala tindakan susulan akan dilakukan sebaik kita mendapatkan pengesahan mengenai tangkapan itu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Bagaimanapun, Abd Jalil menjelaskan, tidak dapat mengulas lanjut sama ada suspek yang ditahan terbabit adalah ejen Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel atau Mossad seperti didedahkan Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash, sebelum ini.
Dalam kejadian jam 6 pagi, 21 April 2018, Dr Fadi ditembak dua suspek menaiki motosikal jenis BMW dari jarak dekat dan pembunuhan itu dilapor didalangi serta dirancang Mossad. – Malaysiapost

