KBS bukan emak tiri – Peja 

0
1

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bukan seperti ‘ibu atau bapa tiri’ dalam menjaga kebajikan atlet negara.  

Sebaliknya Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, pihaknya cuba bertindak sebagai ‘ibu bapa’ yang bertanggungjawab terhadap atlet.  

Menurut Ahmad Faizal, kementeriannya tidak pernah terlintas untuk bersikap kejam kepada atlet sehingga perlu melaksanakan pemotongan dan penyusunan semula elaun. 

“Kami (KBS) bukan ‘bapa tiri’, bukan ‘emak tiri’, kami cuba bertindak sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, berbelanja mengikut kemampuan kerana sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu meletakkan keutamaan kepada perkara-perkara yang lebih utama. 

“Kami cuba lakukan yang terbaik. Anda bayangkan agak-agaknya saya sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru lima bulan (berkhidmat), (mustahil) saya nak tengok atlet tiba-tiba tak ada (elaun). Kalau boleh saya nak tambah lagi (elaun),” katanya. 

Ahmad Faizal berkata demikian ketika ditemui Astro Awani selepas majlis pecah tanah projek naik taraf sebahagian Jalan Tambun di Dewan Badminton X – Treme Park, Bandar Sunway, Tambun, hari ini.  

Justeru, Ahmad Faizal berharap rakyat memahami kekangan yang dihadapi dan tidak lagi mengecam tindakan kementerian. 

Ahmad Faizal turut memberi jaminan akan membuat yang terbaik untuk menjaga kebajikan para atlet yang banyak menyumbang kepada negara, termasuk mereka yang tercedera dan bekas-bekas atlet. 

Dalam masa sama, beliau berkata, KBS akan mencari jalan bagi membolehkan atlet-atlet diserap di mana-mana agensi di samping syarikat-syarikat korporat seperti pernah dilakukan sebelum ini. 

Selain pemotongan elaun, Majlis Sukan Negara (MSN) menggugurkan 144 atlet daripada program latihan kebangsaan kerana bajet yang diterima dikurangkan dalam usaha kerajaan memberi keutamaan kepada pasca Covid-19 dan bencana banjir yang melanda beberapa negeri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here