6 diberkas, selepas tidak sampai sejam larikan RM260,000

0
2

ENAM suspek termasuk tiga wanita diberkas kerana disyaki melarikan wang tunai sebanyak RM260,000 selepas memecah cermin sebuah Toyota Vellfire di Tanah Rata, Cameron Highlands, Sabtu lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata enam suspek yang berusia antara 19 dan 38 tahun itu ditahan tidak sampai sejam kes berkenaan dilaporkan.

Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kes cermin kenderaan berkenaan dipecahkan pada 10.50 malam yang membabitkan kehilangan sebuah beg galas berisi wang tunai RM260,000.

“Kejadian berlaku di tempat letak kenderaan awam di tapak ekspo di hadapan sebuah hotel di Tanah Rata, Cameron Hihglands.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands berdasarkan rangkaian maklumat dan risikan yang sangat cekap berjaya menahan suspek pada jam 11.40 malam iaitu kurang sejam dari kes dilaporkan.

“Tangkapan dibuat dalam serbuan yang dijalankan di Brinchang, Cameron Highlands itu berjaya menahan tiga lelaki dan tiga wanita tempatan,” katanya dalam sidang media di IPD Cameron Highlands, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan wang tunai yang dilaporkan hilang berkenaan dan beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan terbabit.

Menurutnya, wang tunai berkenaan ditemui dalam keadaan tidak terjejas, cuma dipindahkan dari beg asalnya.

“Turut dirampas ialah empat peket plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 34.74 gram dan satu peket plastik berisi daun kering disyaki ganja seberat 4.2 gram.

“Polis juga merampas sebuah kereta Perodua Myvi serta pelbagai barang kemas, tiga jongkong emas, 10 telefon bimbit dan sebuah beg berisi wang tunai berjumlah RM3,843,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada suspek mempunyai 13 rekod pelbagai jenayah lampau dan dilaporkan baharu dibebaskan selepas dikenakan hukuman penjara selama enam tahun.

Beliau berkata, dua daripada suspek juga mengaku terbabit dalam tujuh kes pecah cermin kereta dan mencuri barang di sekitar Cameron Highlands serta mendedahkan pembabitan dua lagi rakan jenayah mereka dalam kegiatan itu yang masih bebas.

“Berikutan itu, usaha mengesan dua suspek dikenali Muhammad Zaidi Zainal dan Faiz sedang dijalankan.

“Kesemua suspek direman sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 394 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here