Walau tiada penghargaan, saya ikhlas bantu mangsa banjir – Abang Viva 

0
3

ABANG Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, menegaskan usahanya membantu mangsa banjir dilakukan secara ikhlas dan akan tetap menolong walaupun jika tiada pihak memberi penghargaan kepadanya. 

“Apa yang saya lakukan ini ikhlas, kalau tiada penghargaan sekalipun, saya akan tetap menghulurkan bantuan membantu mereka yang memerlukan,” kata pemuda berusia 29 tahun itu hari ini. 

Beliau yang dikenali sebagai hero banjir itu ditemui selepas menerima saguhati dan sumbangan kerajaan negeri pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri di Melaka. 

Memetik laporan Melaka Hari Ini, Azwan berkata, penghargaan kerajaan negeri itu adalah penghormatan buat dirinya dan secara tidak langsung lebih bersemangat dalam melakukan aktiviti sukarelawan membantu mangsa banjir yang terjejas. 

Beliau mengakui bukan sesiapa tetapi amat mengalu-alukan mereka yang berminat dan mempunyai kudrat untuk turut sama menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. 

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi memanggil dan menyampaikan sumbangan, saya amat hargainya. 

“Saya anggap ujian mereka itu seperti ujian diri sendiri, apabila mangsa banjir berada dalam kesusahan kita juga terkesan dan merasai beban itu,” katanya. 

Kata pemuda itu lagi, selepas kisahnya tular kehidupan hariannya tidak lagi seperti dulu sebelum ini dan terpaksa meminta pertolongan kakaknya dari segi pengurusan masa. 

“Buat masa ini saya dalam ‘mode standby’ untuk ke Johor, kalau katakan keadaan makin teruk saya akan ke sana bantu apa yang sepatutnya selain masih lagi setia bersama Viva,” katanya. 

Turut menerima sumbangan dan penghargaan kerajaan negeri ialah balu pegawai bomba, Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, 46, yang lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, tahun lalu. – Malaysiapost

Foto Kredit: Melaka Hari Ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here