3 saksi kata lihat pesawat terhempas

0
2

HANYA tiga daripada 10 saksi yang dipanggil mendakwa melihat kejadian pesawat jatuh ke laut berhampiran Tanjung Bungah di Pulau Pinang, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata saksi yang juga penduduk setempat mendakwa mereka melihat objek seperti kotak mancis berwarna hitam dan menjunam ke laut serta mengeluarkan belon di belakangnya.

Memetik laporan Berita Harian, Soffian berkata, ketika itu, tiga saksi terbabit masing-masing berada pada jarak 20 meter antara satu sama lain.

Beliau berkata, mereka bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada ia pesawat tetapi melihat objek itu sebagai ‘menyerupai pesawat’ yang menjunam pada jarak sekitar 1.5 kilometer dari pantai.

“Siasatan terhadap beberapa orang awam dan nelayan lain di lokasi pula mendapati mereka mendakwa tidak melihat kejadian itu.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh polis dan beberapa agensi juga dihentikan hingga ada petunjuk dan maklumat baharu,” katanya.

Soffian berkata, beliau belum boleh menyatakan maklumat itu palsu, sebaliknya sedang mengesan lebih ramai saksi dan orang awam yang berada di lokasi bagi meneruskan siasatan.

Katanya, hingga kini pihaknya masih belum menerima laporan daripada Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atau laporan kehilangan daripada keluarga mangsa. – Malaysiapost