MANGSA banjir di seluruh negara akan menerima dua sumbangan berbentuk baucar bernilai RM1,500 dan wang tunai RM2,500 mulai esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sumbangan itu adalah tambahan daripada Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diagihkan sebelum ini.
Perdana Menteri berkata, sementara baucar yang ditawarkan pula ialah, baucar membaiki kenderaan bernilai RM1,000 dan RM500 lagi bagi pembelian barangan elektrik yang akan diagihkan secara berperingkat di setiap negeri yang terlibat.
“Bantuan baucar dan wang tunai ini akan diagihkan bermula esok. Wang tunai ini akan diagihkan melalui tiga kaedah, sama ada hantar ke rumah mangsa atau kumpulkan mereka atau disalurkan melalui akaun bank masing-masing.
“Pihak Pejabat Daerah dan Tanah di setiap negeri akan menyelaraskan perkara ini termasuk menyenaraikan nama-nama bengkel dan kedai elektrik berdekatan bagi memudahkan mangsa banjir untuk tebus baucar,” katanya seperti dilapor AstroAwani.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Penyampaian Bantuan Wang Ihsan di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 478 penerima menerima sumbangan wang ihsan sebanyak RM1,500 daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Perdana Menteri berkata, kerajaan memutuskan untuk memberikan bantuan wang tunai tersebut bagi memudahkan mangsa banjir membeli sendiri keperluan barangan asas yang rosak.
“Saya difahamkan, ada syarikat-syarikat, badan korporat termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan) banyak juga yang menyumbang barangan elektrik kepada mereka ini.
“Jadi, kerajaan memutuskan untuk memberikan wang tunai supaya mereka boleh beli barangan apa yang diperlukan.
“Terpulanglah kepada mereka untuk beli apa yang mereka perlukan. Kita cuma bantu mengurangkan beban yang ditanggung mereka,” katanya.
Sementara itu, bagi pengagihan BWI untuk bencana banjir gelombang pertama, seramai 51, 532 ketua isi rumah (KIR) daripada 54, 678 KIR telah menerimanya sejak dilaksanakan bulan lalu.
Manakala, seramai 42 daripada 3,790 KIR telah menerima BWI bagi gelombang kedua baru-baru ini. – Malaysiapost

