SUSPEK pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Al Batsh Fatma, dipercayai telah ditahan di Gaza.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam hantaran terbaharunya di Facebook, hari ini.

Katanya, berita berkenaan tersebar pagi tadi yang memaklumkan suspek berjaya ditangkap pihak keselamatan di Gaza.
“Berita tersebar pagi tadi bahawa pengintip dan pembunuh Imam Fadi Al-Batsh di Kuala Lumpur pada 2018 berjaya ditangkap di Gaza oleh pihak keselamatan,” katanya.
Muhammad Nadir memaklumkan, pembunuh tersebut masuk ke Gaza dan menghubungi pihak penjajah untuk meminta duit.
“Perbualannya diintip pihak keselamatan Gaza dan ditangkap. Dia memaklumkan membunuh Imam Fadi bersama lelaki lain di Kuala Lumpur ketika itu. Itu saja berita yang ada setakat ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu berhubung dakwaan suspek sudah ditahan.
Sebelum ini, media melaporkan pembunuhan Fadi dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.
Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash, yang mengeluarkan kenyataan itu, berkata dua suspek menaiki motosikal jenis BMW yang melepaskan tembakan jarak dekat berkenaan dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.
Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.
Malah, kebanyakan portal berita, termasuk milik Israel seperti Haaretz.com, The Times Of Israel dan The Jerusalem Post (jpost) turut menyiarkan kenyataan Khaled yang mendakwa dua lelaki berkenaan adalah ejen Mossad.
Fadi yang juga imam dari Palestin ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, di sini, ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh. – Malaysiapost

