WARGA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyatakan pendirian menyokong Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
SPRM dalam kenyataan hari ini, berkata suruhanjaya itu berpendirian bahawa tohmahan dan serangan yang dibuat terhadap Azam adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.
“Kami mewakili seluruh warga SPRM menyatakan pendirian kami menyokong kepimpinan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki,” menurut kenyataan itu.
Justeru, SPRM menggesa semua pihak menghentikan kemelut berkenaan dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.
“Warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta,” katanya.
Kenyataan bersama itu membabitkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya
(Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi.
Semalam, media melaporkan, Azam bersedia sekiranya kes yang didakwa membabitkan dirinya dirujuk kepada Jawatankuasa Aduan SPRM.
Malah katanya, sekiranya kes itu dirujuk, beliau juga bersedia menyerahkan kepada budi bicara Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) kerana tiada sebarang fakta disembunyikannya.
Malah beliau juga yakin tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah atau salah guna kuasa seperti yang didakwa pihak tertentu.
Rabu lalu, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang, menyatakan LPPR yang juga satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.
Namun, semalam, enam ahli Lembaga LPPR menegaskan kenyataan Abu Zahar berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Azam adalah pendapat peribadi pengerusi lembaga penasihat itu. – Malaysiapost

