FOKUS: Penduduk Lamag mahu bakal YB selesai isu geran tanah, kemudahan asas

0
2

SEBUT saja Kinabatangan, dua perkara pasti terlintas di fikiran.

Pertama, terletaknya sungai kedua terpanjang di Malaysia dan kedua, kelantangan pemimpin berasal dari Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berdebat di Dewan Rakyat.

Kali ini, Bung Moktar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, kerusi baharu di Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Datuk Seri Bung Moktar Radin

Lamag pastinya nama baharu tetapi menjadi tumpuan apabila Ahli Parlimen lima penggal itu yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah bertanding di kerusi berkenaan.

Mengikut sejarah, Lamag mengambil nama sempena pusat pentadbiran kerajaan British dikenali sebagai North Borneo Chartered Company di kawasan Lamag pada 1905, namun berpindah ke Bukit Garam pada 1972 kerana sering dilanda banjir.

Lamag yang meliputi 22 kampung bermula dari Kampung Jaya Baru di simpang Sukau sehingga Kampung Balat, berkeluasan 2,142 kilometer persegi dengan majoriti penduduk Bumiputera Islam suku kaum Sungai.

Lamag adalah kerusi baharu terletak di bawah Parlimen Kinabatangan

Kawasan itu mempunyai 8,159 pengundi dengan sebahagian besar penduduk adalah pekebun kecil yang mengusahakan tanaman kelapa sawit, bekerja di jabatan kerajaan dan swasta, manakala hanya sebilangan kecil masih menjadi nelayan.

Beberapa tahun lalu, banjir adalah isu utama yang membelenggu penduduk sehingga ada kalanya mencecah bumbung rumah.

Penduduk Bukit Garam, Abu Bakar Gapar, 41, berkata isu berkenaan bagaimanapun sudah selesai menerusi pembinaan Taman Desa Sejahtera Pelangi.

Projek penempatan semula mangsa banjir itu berhampiran pekan Bukit Garam merangkumi 139 unit rumah bernilai RM29 juta.

“Sudah hampir 10 tahun tiada banjir besar di sini dan penduduk yang selalu kena banjir pun sudah diberi rumah. Masalah seperti air dan elektrik bukan isu yang besar.

“Cuma yang kami perlukan lebih banyak peluang pekerjaan dengan harapan wakil rakyat yang dipilih nanti mencari langkah tangani isu ini, sekali gus dapat tingkatkan taraf hidup penduduk,” katanya.

Sungai Kinabatangan, sungai kedua terpanjang di Malaysia

Anak muda, Junaedi Ahmad, 35, dari Kampung Kembara Jaya, berkata selain isu setempat, penduduk di kawasan Lamag berharap wakil rakyat yang bakal dipilih dapat menangani isu pemilikan geran tanah.

Katanya, apabila Program Perkhidmatan Tanah Adat Anak Negeri (PANTAS) diperkenalkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), penduduk menjangka ia mampu menyelesaikan isu tanah dihadapi mereka.

“Bagaimanapun, apabila kerajaan negeri (diterajui Parti Warisan Sabah) serahkan geran tanah, hanya sedikit yang terima geran dan masih tidak dapat selesaikan keseluruhan masalah penduduk terutama yang berlaku pertindihan tanah,” katanya.

Junaedi berkata, perbezaan aliran politik antara Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu yang sebelum ini berada dalam DUN Kuamut, juga menyebabkan pelbagai isu tidak dapat diselesaikan seperti naik taraf jalan raya.

Seorang lagi penduduk, Steven Japar dari Kampung Warisan berkata, beberapa kampung di kawasan ulu Sungai Kinabatangan seperti Sungai Lokan, Sangau dan Balat masih tiada kemudahan asas.

“Mahu ke sana boleh naik bot atau kereta tapi kena ikut jalan ladang yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.

“Beberapa kampung lain seperti Sinar Jaya, Tanjung Bulat, Sungai Rotan pun masalah sama tiada bekalan air,” katanya.

Steven berkata, mereka juga berharap wakil rakyat yang dipilih mampu menangani isu seperti masalah tanah perkampungan yang belum diwartakan agar kehidupan penduduk lebih terjamin.

Pada PRN ini, Bung Moktar yang juga Pengerusi UMNO negeri berdepan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Ismail Ayob, calon Parti Cinta Sabah (PCS) Razman Mayah, calon Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) Mohd Al Ruzainie @ Shirin Abdul Rahman dan Junny @ Karuak Abdullah yang bertanding atas tiket Bebas.

Bung Moktar sebelum ini berkata, cabaran daripada empat calon itu membuktikan amalan demokrasi dalam PRN, dengan sesiapa saja termasuk calon Bebas boleh menawarkan diri untuk bertanding.

Katanya, meskipun tidak sentiasa berada di kawasan Lamag sepanjang kempen berlangsung kerana perlu melakukan jelajah ke seluruh kawasan ditandingi BN, beliau yakin khidmatnya sepanjang lima penggal menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan membolehkannya memenangi kerusi itu.

“Bukan kerana terlalu yakin akan menang, saya ada jentera yang bergerak terus berjumpa rakyat dan pengundi,” katanya.

Apapun keputusan PRN ini, pokok pangkalnya sudah tentu rakyat mengharapkan wakil rakyat yang mampu membawa suara dan mendengar keluhan mereka. – Malaysiapost