Alexander perjelas isu jangkaan kenaikan harga ayam, telur

0
2

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexender Nanta Linggi tampil menjelaskan mengenai jangkaan kenaikan harga ayam dan telur di pasaran selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) tamat pada 4 Febuari ini.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini bukan sengaja diada-adakan tetapi berdasarkan hasil maklumat yang diterima daripada sesi libat urus yang diadakan pada 6 Januari lalu.

Katanya, turut sama hadir sesi libat urus tersebut wakil Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Kewangan, wakil Agro Bank dan wakil-wakil dari Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak (FLFAM).

“Melalui sesi itu, setiap pihak termasuk FLFAM telah membentangkan faktor-faktor kenaikan kos operasi penternakan ayam termasuk peningkatan kos makanan ayam di peringkat global dan kekurangan tenaga kerja akibat sekatan kemasukan pekerja asing bagi sektor ini.

“Kementerian juga telah dimaklumkan, pelaksanaan SHMKM ini telah membebankan penternak, yang terpaksa menyerap kos operasi yang lebih tinggi. Sekiranya skim ini diteruskan, pihak kementerian dimaklumkan ini akan menjejaskan hasil pengeluaran ayam dan telur.

“Keadaan ini seterusnya akan mengganggu bekalan ayam dan telur di pasaran. Perkara ini turut dilaporkan di dalam media baru-baru ini,” katanya dalam hantaran Facebook.

Terdahulu, Alexender mengingatkan pengguna agar bersedia kemungkinan berlaku kenaikan harga ayam segar dan telur selepas Tahun Baharu Cina dan tamatnya SHMKM pada 4 Februari ini.

Katanya, keadaan sukar itu terpaksa dilaksanakan demi menjaga kebajikan pengguna dan penternak di negara ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here