Kes Azam Baki: ‘Beri ruang siasatan dibuat’ – PM

0
1

SEMUA pihak harus memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan sepenuhnya terhadap dakwaan pembelian saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata siasatan berhubung kes itu kini dilakukan pelbagai pihak, antaranya Suruhanjaya Sekuriti, selain siasatan dalaman oleh SPRM sendiri, dan ia sekali gus menolak dakwaan beberapa pihak bahawa kerajaan berdiam diri.

“Saya sentiasa dimaklumkan, dan memantau isu berkaitan SPRM, tindakan telah diambil dan gambaran diberikan kerajaan berdiam diri adalah salah. SPRM merupakan suruhanjaya bebas (dan) ada tatacara sendiri kendalikan perkara seperti ini.

“Kita tunggu selesai siasatan, kita tidak boleh ‘jump into conclusion’ (membuat kesimpulan) seolah-olah Azam Baki bersalah, kita perlu berlaku adil kepada sesiapa sahaja, selepas selesai siasatan baru ambil tindakan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan dan bakul makanan kepada 206 keluarga mangsa banjir Kota Marudu, Sabah, hari ini.

Semalam, media melaporkan, polis sedang menyiasat Azam mengikut Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, laporan polis yang dibuat terhadap Azam berhubung kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Rabu lalu, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Azam berhubung skandal pembelian saham yang dikaitkan dengannya.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, setelah perbincangan bersama Ahli LPPR, mereka berpendapat Azam tiada sebarang kepentingan pecuniary (kewangan) atau benefisial ke atas saham berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here