Sultan Selangor mahu rasuah dibanteras dengan hukuman lebih tegas

0
2

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu kerjaaan membanteras gejala rasuah dengan mengenakan hukuman lebih tegas supaya pelakunya menjadi gerun dan takut.

Menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam memahami dan menghayati intipati khutbah Jumaat yang dibacakan khatib di masjid seluruh negeri itu, semalam.

Memetik antara isi penting khutbah itu, baginda bertitah, rasuah amat berbahaya dan bala besar selain memudaratkan masyarakat, orang Islam sekali gus meletakkan pengurusan serta pentadbiran menjadi tidak stabil.

“Rasuah berlaku dalam semua urusan termasuk kehakiman, tanah, percukaian, zakat malah perkara yang melibatkan agama dan orang agama.

“Oleh itu, Allah mengharamkan rasuah dan melaknat pelakunya. Seseorang tidak boleh memberi rasuah dan seseorang pegawai juga tidak mengambilnya bahkan wajib berjaga-jaga darinya,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin menegaskan amalan rasuah turut melibatkan orang agama biarpun mengetahui hukumnya haram dan berdosa besar.

“Namun, habuan dunia itu mengasyikkan dan menghilangkan sikap amanah, jujur dan keikhlasan yang tertanam dalam sanubari.

“Orang yang diharap dapat menjaga maruah diri dan agama bahkan sentiasa menyeru masyarakat dalam melakukan kebaikan boleh hanyut dan melanggar larangan Allah S.W.T,” titah baginda.

Justeru, baginda bersetuju dengan saranan dalam khutbah itu supaya rasuah mesti dibanteras dengan mengenakan hukuman lebih tegas.

“Dalam menangani kes rasuah, pemerintah perlu lebih fokus kepada langkah pencegahan sebelum berlakunya kes jenayah tersebut.

“Allah menceritakan dalam al-Quran bahawa ada seorang alim, mereka mengakui kebenaran Muhammad SAW, tetapi disebabkan rakus terhadap dunia, mengikut hawa nafsu, ingin kekuasaan dan kekayaan, syaitan telah menggoda mereka.

“… hingga tergelincir dari agama yang benar. Ingatlah, orang yang alim apabila dia derhaka kepada Allah, Allah umpamakan dia seperti anjing seperti yang dinyatakan dalam surah Al- A’raf ayat 176,” titah baginda. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here