AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Tan Sri Tommy Thomas disegerakan walaupun bekas Peguam Negara itu enggan memberikan kerajasama.
Beliau berkata, keenganan Tommy untuk memberi kerjasama terhadap siasatan Pasukan Petugas Khas juga tidak wajar ‘dibiarkan’, kerana ia disifatkan penghinaan kepada kerajaan.
“Jangan dibiarkan kengganan Tommy Thomas yang tidak mahu hadir sesi siasatan Pasukan Petugas Khas terhadapnya. Pasukan Petuga Khas kedai kopi ke?,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Mohd Puad turut menuntut supaya kes berkenaan tidak dilengahkan atau dibiar ‘gantung tidak bertali’.
“Apa istimewanya Tommy Thomas? Walaupun Pasukan Petugas Khas bukan Mahkamah tetapi itu keputusan Kabinet. Dia menghina Kerajaan. Ini betul betul ‘memalukan negara’.
“Kes Tommy Thomas jangan dilengahkan dan tergantung tanpa tali. Negara tidak boleh berkompromi dengan sesiapa yang mahu jadi kepala batu. Segerakan RCI Tommy Thomas,” katanya.
Terdahulu, Tommy memaklumkan beliau tidak akan bekerjasama dengan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
Tommy memaklumkan demikian melalui surat kepada Pengerusi Pasukan Petugas Khas Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri Fong Soo Chung.
Menurut Tommy, pertimbangan tersebut diambilnya kerana merasakan pasukan petugas itu boleh menjejaskan kebebasan Pejabat Peguam Negara.
“Saya menganggap bahawa Pasukan Khas ingin meneliti keputusan keputusan saya untuk menuduh semasa saya memegang jawatan Peguam Negara,” katanya. – Malaysiapost
Kredit foto: Ismaweb

