SEORANG peniaga bertindak menendang seorang lelaki selepas berang dengan tindakan individu itu mengambil gambar gerainya di Pasar Pagi OUG, di Kuala Lumpur semalam,
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata video kejadian jam 10.45 pagi yang dirakam orang awam, tular melalui satu pautan Facebook semalam.
Beliau berkata, mangsa berusia 58 tahun mendakwa dicederakan oleh suspek yang berusia 53 tahun berkenaan kerana mengambil gambar tapak niaga milik peniaga berkenaan.
Katanya, lelaki berkenaan mendakwa mengambil gambar gerai suspek untuk dijadikan bukti bahawa berlaku ketidakpatuhan syarat lesen perniagaan.
“Suspek dikatakan mendirikan tapak niaga melebihi jumlah tapak yang dibenarkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang mengambil gambar itu bertindak menyerang dan menendang lelaki berkenaan di bahagian belakang badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Amihizam berkata, mangsa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) susulan kejadian itu.
“Kami turut menahan seorang lagi suspek lain iaitu wanita berusia 48 tahun bagi membantu siasatan.
“Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan tindakan di luar kawalan yang boleh mendatangkan kecederaan dan ketakutan kepada mana-mana pihak.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan cedera dengan sengaja,” katanya.
“Spekulasi berkaitan video ini perlu dihentikan sehingga penyiasatan pihak polis selesai dijalankan,” katanya. – Malaysiapost

