SEORANG warga emas menjadi korban pertama bencana banjir di Segamat apabila ditemui lemas selepas motosikal ditunggang dihanyutkan arus deras di Serakik, Buloh Kasap, hari ini.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abdul Razak berkata, dikenali sebagai Gan Ai Boon, 63.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat daripada polis mengenai seorang lelaki tidak pulang ke kediamannya sejak semalam pada jam 4.49 petang tadi.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menaiki motosikal menghala ke kebun duriannya cuba menyeberangi arus air deras di atas jalan.
“Disebabkan arus terlalu deras, mangsa tidak dapat mengawal keadaan sebelum motosikalnya dihanyutkan ke dalam sungai berhampiran,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Muhd Hazim berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 5.15 petang tadi pada jarak 50 meter daripada lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan arus air.
“Ini adalah korban pertama membabitkan mangsa lemas sejak daerah Segamat dilanda banjir. Mayat mangsa ditemukan berpakaian baju-T hijau serta berseluar panjang berwarna gelap namun motosikalnya belum lagi ditemui.
“Operasi ditamatkan kira-kira jam 5.50 petang dan mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Segamat untuk di bawa ke Unit Forensik, Hospital Daerah Segamat (HDS),” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd Noh ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan. – Malaysiapost

