BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Ini kali kedua Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ahli Parlimen Langkawi itu dimasukkan ke IJN dalam tempoh kira-kira tiga minggu.
Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 16 Disember bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemerhatian susulan, sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember lalu
IJN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Dr Mahathir perlu menjalani prosedur perubatan elektif.
“Berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa ketika ini, tiada pelawat dibenarkan untuk melawat Dr Mahathir,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan turut dikongsikan laman media sosial bekas Perdana Menteri berkenaan di Twitter dan Facebook. – Malaysiapost

