KERAJAAN mengumumkan penambahbaikan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi meringankan beban golongan terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara.
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata salah satunya penambahan kemudahan bantuan perusahaan mikro, kecil dan sederhana daripada RM200 juta kepada RM500 juta.
“Ciri-ciri kemudahan juga telah ditambahbaik dengan jumlah pembiayaan maksimum ditambah daripada RM500,000 kepada RM700,000 untuk perusahaan kecil sederhana (PKS), dan daripada RM75,000 kepada RM150,000 untuk perusahaan mikro.
“Tempoh pembiayaan maksimum dipanjangkan daripada lima tahun kepada tujuh tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, selain itu inisiatif Baucar Diskaun Auotomotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara yang layak juga telah diumumkan untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian yang rosak akibat banjir.
“Inisiatif ini merupakan usahasama antara kerajaan dan syarikat automotif di mana syarikat akan menawarkan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma dan kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut mengalu-alukan langkah syarikat Perodua dan Proton untuk menawarkan diskaun 50 peratus ke atas kos alat ganti.
“Perodua juga telah menawarkan upah kerja pembaikan secara percuma. Kerajaan menggalakkan syarikat automotif yang lain untuk turut menawarkan insentif yang lebih baik untuk pelanggannya.
“Untuk memanfaatkan baucar diskaun tersebut, pemilik kenderaan tidak perlu membuat sebarang permohonan. Pemilik kenderaan dengan kenderaan yang rosak akibat banjir boleh menebus baucar tersebut di pusat servis atau pengedar sah untuk syarikat automotif yang terlibat,” katanya.
Menurutnya, pengurangan kos pembaikan dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah.
“Setakat ini, hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara, telah bersetuju untuk menyertai inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia.
“Senarai syarikat yang terlibat bersama dengan pendaftaran pusat servis sah serta bengkel, terutamanya untuk motosikal akan dikemaskini sepanjang tempoh pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata, pemilik kenderaan boleh menghubungi syarikat automotif berkenaan untuk mengetahui pusat servis yang berdekatan.
“Tarikh akhir tuntutan inisiatif Baucar Diskaun Automatif Keluarga Malaysia adalah pada 31 Mac dan pengguna dinasihatkan untuk segera membuat tuntutan dari pusat servis/pengedar sah yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Dengan inisiatif Baucar Diskaun Automatif Keluarga Malaysia ini, Kerajaan terus komited untuk memastikan bantuan berbentuk holistik kepada Keluarga Malaysia khususnya yang terkesan dengan bencana banjir supaya dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin,” katanya. – Malaysiapost

