Lebih RM40 juta untuk projek pemulihan pasca banjir di Selangor

0
1

LEBIH RM40 juta peruntukan segera telah diluluskan oleh Kerajaan Selangor bagi melaksanakan beberapa projek pemulihan infrastruktur yang terjejas akibat banjir di negeri berkenaan Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam membabitkan projek yang akan dikelola Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Sebanyak RM9.18 juta diperuntukkan bagi 13 projek kepada JPS bagi usaha pengukuhan tebing sungai, pembinaan ban sungai, pembinaan aras platform Tenaga Nasional Berhad (TNB), pembelian set penghidup mudah alih (mobile genset) serta penambahan Sistem Amaran Banjir di kawasan titik penting.

“Sebanyak RM31.7 juta pula diperuntukkan kepada JKR Selangor bagi projek kritikal seperti pembersihan runtuhan cerun, tebing jalan serta baik pulih jalan rosak.

“Ada projek yang sudah berjalan dan ada yang akan dilaksanakan dalam kadar segera,” katanya memetik Harian Metro.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, sehingga semalam, sebanyak 908 unit rumah di lapan daerah sudah dikenal pasti untuk dibaik pulih atau dibina baharu.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 876 rumah memerlukan baik pulih, manakala 32 lagi perlu dibina baharu.

“Kerajaan negeri akan meneliti senarai penuh yang sedang dimuktamadkan dan akan mengumumkan usaha bantuan kepada keluarga ini dalam masa terdekat.

“Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan turut membantu dalam proses baik pulih serta bina semula rumah yang terkesan.

“Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail akan menyelaraskan perkara ini termasuk menilai bentuk bantuan yang akan diberikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here