Sedia hadapi kenaikan harga ayam, telur selepas 4 Februari – menteri

0
2

PENGGUNA diminta bersedia kemungkinan berlaku kenaikan harga ayam segar dan telur selepas Tahun Baharu Cina dan tamatnya Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) pada 4 Februari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keadaan sukar itu terpaksa dilaksanakan demi menjaga kebajikan pengguna dan penternak di negara ini.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai hasil sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Agrobank dan persatuan penternak di Putrajaya semalam.

“Kita sudah bincang semalam dan semua pihak serta persatuan penternak yang mana mereka mengeluh harga ternakan dan kos operasi semakin meningkat termasuk kos mengimport dedak ayam.

“Sekarang harga runcit maksimum ayam segar RM9.10 sekilogram itu dikatakan rendah dan kita akan pertimbangkan sebabnya KPDNHEP ini selain jaga pengguna, kita juga harus bela nasib peniaga.

“Betul (akan berlaku kenaikan harga) saya harap rakyat dan pengguna faham sebab masalah ini kompleks dan bukanlah semudah kita nak harga yang terlalu murah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai di Melaka hari ini.

Hadir sama Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar

Mengulas lanjut, Alexander berkata kementerian bagaimanapun sentiasa mencari mekanisme terbaik dalam membela kepentingan pengguna dan penternak.

“Bagaimanapun kemungkinan kenaikan ini juga bergantung kepada strategi lain termasuk mengimport ayam dari luar yang mana jika ia dapat dilaksanakan, akan berlaku persaingan harga.

“Keadaan ini seterusnya akan mendorong kepada kestabilan harga ayam dan tidak akan berlaku kenaikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here