INDIVIDU yang dipanggil sebagai Raja Bomoh akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh hari ini.
Tuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.
Raja Bomoh atau Ibrahim Mat Zin yang berusia 71 tahun itu turut didakwa bersama seorang individu wanita yang dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’.
Tuduhan dibuat ke atas dua individu berkenaan susulan tular satu video ritual menolak musibah banjir yang dilakukan mereka di Dataran JPS di Teluk Intan baru-baru ini, lapor Berita Harian.
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) kelmarin membuka kertas siasatan terhadap Raja Bomoh mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.
Mengikut seksyen itu, mereka yang mempersenda amalan atau upacara yang berkaitan agama Islam adalah suatu kesalahan yang boleh disabit dengan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Raja Bomoh bersama seorang wanita membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.
Mereka menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu. Turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan kitab suci al-Quran. – Malaysiapost

